Saturday, September 24, 2011

~Tinta Fashika 5

Genre : pantun
Tema : Bebas

Haruan tasik, telur belangkas,
dimakan dengan si ulam raja,
hendak merisik, risiklah lekas,
kalau berangan melepas sahaja

kait pinang pilih-pilihan,
jangan dikait pinang muda,
kalau terkenang nasibku tuan,
tuliskan bait untuk kakanda

menanam kapas di bawah bukit,
menumpang dedalu tidak diduga,
tubuh dihempas hati yang sakit,
kerana selalu dikayu tiga

anak belia berseluar sendat,
konon berasa hebat gerangan,
hidup manusia resam beradat,
budi bahasa dijual jangan

dibuang lumut sampan digala,
asyik diperhati oleh aki,
matinya semut kerana gula,
matinya hati kerana dengki

anak teruna menjual baulu,
sejak pagi di pangkal titi,
tinggi mana si kinabalu,
tinggi lagi harap di hati

duduk memintal tali di bagan,
nakhoda arab meminta serbat,
tidur sebantal makan sepinggan,
tandanya akrab dua sahabat,

Nukilan : Pak Nazel
sensei pantun,kitabnya jadi panduan.
p/s : pantun 4 kerat biasa digunakan dalam kehidupan seharian,
ianya hanya perlu 4 patah perkataan dalam satu baris dan memerlukan 13-14 suku kata sahaja,
rima akhir a,b,a,b
rima tengah juga a,b,a,b

No comments:

Post a Comment